Asalamualaikum dan salam sejahtera.
Tujuan blog ini adalah untuk memberi pendapat, pandangan dan buah fikiran yang merangkumi sosial politik kawasan Dun Mengkebang (N 39), iaitu salah satu daripada 4 Dun di Parlimen Kuala Krai (P31) khususnya dan menyentuh perkara-perkara lain yang berkenaan.
Saya selaku mantan Ahli Dewan Negeri (ADUN) kawasan Mengkebang berharap agar pembaca dapat berkongsi pendapat dan diambil maklum oleh pihak yang bertanggungjawab demi kebaikan serta kesejahteraan rakyat di kawasan ini khususnya.
Didalam pilihanraya 2008 yang lepas, saya yang mewakili BN untuk penggal kedua, kalah kepada calon PAS dan saya menerima kekalahan ini sebagai ketentuan Allah swt. Yang penting bukan soal kalah atau menang, yang penting ialah pembelaan rakyat dan saya merasakan semasa saya menjadi wakil rakyat keutamaan di berikan kepada rakyat tidak mengira apa jua fahaman politik mereka.
Saya dan juga rakyat semestinya mahu wakil rakyat yang baru menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya dan menunaikan janji-janji yang telah ditaburkan semasa berkempen menjelang pilihan raya. Kita tidak mahu alasan demi alasan lagi kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai pemimpin serta kerajaan yang diwakili membantu dan menyediakan kemudahan kepada rakyat tanpa pilihan, asalkan rakyat, mereka harus mendapat pembelaan.
Juga saya harap rakyat dapat mula membuat penilaian wakil rakyat yang dipilih mereka walaupun apa jua cara yang telah digunakan oleh calon/parti untuk mendapat kemenangan. Kalau kita bijak memilih, kita juga harus bijak menilai demi untuk kesejahteraan bersama. Penilaian ini penting kerana kita yang tinggal di kampong akan menempuhi masalah harian sekiranya tiada pembelaan atau pemimpin yang dipilih tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Lebih menyedihkan ialah apabila soal kemampuan sesebuah parti yang memerintah negeri tidak dapat melaksanakan sesuatu tanggungjawab melalui wakil rakyat yang mewakili mereka dan sudah tentu yang akan menerima kesan adalah rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka. Disini rakyat harus memikirkan secara serius dan jangka panjang bukan sekadar di ulik oleh janji-janji manis, tengok dan lihat di persekitaran kita, bandingkan, guna akal fikiran, buat penilaian, nescaya kita akan membuat keputusan yang baik serta tepat.
Setakat ini dahulu pandangan saya di peringkat awalan blog ini dan saya harap akan mendapat maklumbalas daripada pembaca, wasalam dan salam sejahtera.
Wednesday, June 11, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)